Pengeluar Jus Mengkudu Dari Tumpat Berminat Kembangkan Sayap Ke Timur Tengah
Oleh Muin Abdul Majid
DUBAI, 20 Nov 2009 (Bernama) — Tumpat Economic Development Cooperative Bhd mempunyai satu rancangan — untuk menanam sehingga sejuta pokok mengkudu (morinda citrifolia) di daerah Tumpat, Kelantan menjelang 2010.
Ia mempunyai semua alasan untuk melakukannya memandangkan ia mahu memperluaskan pasarannya bagi jus mengkudu yang dikeluarkannya ke negara-negara di Timur Tengah.
“Selain pasaran domestik, kami sekarang ini mengeksport 10,000 botol jus mengkudu ke Korea.
Dan kami sedang mengintai rantau Timur Tengah,” kata Pengerusi Koperasi itu, Ramli Yunus kepada Bernama di luar aturcara ekspo berkenaan produk dan perkhidmatan halal di Abu Dhabi baru-baru ini.
Beliau berasa terdorong oleh maklum balas yang diterima untuk mendapatkan produk jus mengkudunya, dipasarkan di bawah label “2Park Noni”, yang telah memperoleh pertanyaan daripada negara seperti Lebanon, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.
“Ini adalah cubaan kami yang pertama untuk menerokai pasaran Timur Tengah,” kata Ramli, sambil menyatakan koperasi itu perlu memperkemaskan strateginya untuk mencapai keseimbangan di antara penawaran dan permintaan.
Menurut Ramli, beliau memulakan perniagaan mengkudu kira-kira tiga tahun lepas setelah 10 tahun melakukan penyelidikan.
Katanya sekarang ini terdapat antara 400,000 dan 500,000 pokok mengkudu di Tumpat, sebuah daerah yang beliau anggap harus melakukan sesuatu untuk memperbaiki tahap kehidupan penduduknya.
Inisiatif itu membabitkan kira-kira 1,800 orang penanam yang menggunakan tanah terbiar dan juga kawasan rumah untuk menanam pokok berkenaan.
“Jadi ianya baik untuk penduduk kampung. Sudah menjadi niat saya untuk membantu mereka menambahkan pendapatan,” katanya.
Ramli berkata pokok mengkudu turut menyediakan satu alternatif kepada tembakau.
Kajian telah menunjukkan bahawa mengkudu memiliki kesan positif dalam menangani penyakit kencing manis, asma, gout, masalah ginekologikal, migrain, masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.
– BERNAMA